Perkara Asas Memulakan Perniagaan Emas

Perniagaan emas adalah suatu bentuk perniagaan yang menarik dan menguntungkan kerana tidak perlu diperkenalkan lagi, semua orang secara umumnya sudah mengenali apa yang dimaksudkan dengan emas. Emas juga sangat mudah dalam urusan jual dan beli, walaupun kadar nilai semasa sering berubah-ubah namun emas tetap mempunyai permintaan yang tinggi.


Dibawah terdapat 5 asas yang diperlukan bagi memulakan perniagaan emas, iaitu ;

Memiliki Pembekal Yang Baik
Anda perlu mencari pembekal yang mampu membekalkan emas ketika naik turun harga tanpa sebarang masalah. Anda akan menghadapi masalah sekiranya dapat membekalkan emas semasa harga naik tetapi tiada stok ketika harga turun. Pembekal juga tiada masalah dalam memberi stok emas mengikut kuantiti yang anda kehendaki dengan kadar segera. Cari pembekal yang sanggup membeli semula emas pada spread yang lebih kecil.

Memiliki Pembeli Yang Baik
Mempunyai rangkaian pembeli yang baik adalah sangat penting bagi memastikan perniagaan anda dapat berjalan seperti yang dirancang. Pembeli yang baik haruslah jujur dan tidak mementingkan diri sendiri. Contoh pembeli yang bermasalah ialah apabila pembeli telah bersetuju untuk ‘mengunci’ harga bagi sesuatu emas, tetapi kemudian sengaja dibatalkan apabila harga semasa emas menurun menyebabkan emas yang ‘dikunci’ pembeli tadi menjadi lebih mahal dari sebelumnya.

Pembatalan yang sengaja dibuat atas kepentingan diri sendiri inilah yang harus dielakkan. Oleh itu anda perlu merancang strategi bagi mengelak kejadian tersebut daripada berlaku. Cara yang boleh dipertimbangkan ialah dengan cara mengambil bayaran pendahuluan sebagai upah tempahan, bagaimanapun emas tidak boleh dibeli secara ansuran ataupun hutang, hukumnya adalah haram.

Bekalan Wang Tunai
Pembekalan wang secara tunai amat diperlukan didalam perniagaan emas untuk anda membeli semula emas daripada pelanggan sekiranya mereka ingin menjual balik emas mereka. Anda juga boleh menambah stok dengan menawarkan pembelian emas terpakai pada kadar harga yang lebih rendah untuk dijual semula dengan harga yang lebih tinggi. Bagaimanapun jual beli ini bergantung kepada nilai emas semasa. Rujuk: Spread Jual Beli Emas

Amanah Dan Boleh Dipercayai
Sifat amanah penting dalam mengurus emas yang telah dibeli oleh pelanggan, jangan sesekali ‘kelabu mata’ dengan duit pembelian yang diterima, elakkan menipu dalam apa jua keadaan, pastikan pelanggan menerima emas yang dibeli. Anda perlu bersikap jujur kepada pembeli sekiranya terdapat sebarang masalah. Elakkan sikap memungkiri janji, disinilah peluang anda untuk membina kredibiliti dalam perniagaan emas, tonjolkan sifat boleh dipercayai untuk menarik lebih ramai pelanggan.

Menambah Ilmu Pengetahuan
Memperbanyakkan lagi ilmu pengetahuan anda tentang emas bagi memberi lebih keyakinan kepada pelanggan juga kepada diri anda sendiri. Berbekalkan ilmu pengetahuan yang luas anda lebih yakin untuk berhadapan dengan pelanggan, sentiasa bersiap sedia untuk menjawab pelbagai persoalan dan pertanyaan. Rajinkan diri anda untuk mencari bahan rujukan dan bertanya kepada yang lebih pakar tentang perniagaan emas bagi persiapan yang lebih terjamin.

Catat Ulasan

0 Ulasan