Kategori Dan Jenis Perniagaan Di Malaysia

Mungkin ada dikalangan kita yang masih tidak tahu tentang kategori bagi sesebuah perniagaan tertentu. Setiap perniagaan dan perusahaan adalah mengikut kategori masing-masing seperti yang telah didaftarkan melalui Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM). Berikut adalah kategori yang diperkenalkan bagi sesuatu perniagaan tertentu;

  • Milikan Tunggal/Perseorangan
  • Rakan Kogsi/Perkongsian
  • Syarikat Sendirian Berhad
  • Liabiti Tidak Terhad
  • Koperasi


1. Milikan Tunggal/Perseorangan (Enterprise)
Perniagaan yang dimiliki oleh seorang pemilik menggunakan nama persendirian atau yang nama dagangan yang bersesuaian. Perniagaan yang berskala kecil dan sederhana boleh diuruskan secara individu atau mengupah pekerja bergantung kepada kemampuan pemilik perniagaan. Modal persendirian yang kecil serta tidak memerlukan kapasiti ruang yang besar. Risiko untung rugi adalah tanggungjawab persendirian.

Cukai pendapatan yang rendah hanya dikenakan keatas individu sahaja. Bagaimanapun pemilikan syarikat ini tidak boleh ditukar hak milik sehingga perniagaan ditamatkan atau pemilik telah meninggal dunia, ini bermaksud perniagaan tidak boleh disambung atau diwarisi.

Pendaftaran perniagaan ini boleh dibuat melalui Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) yang telah didaftarkan dibawah Akta Pendaftaran Perniagaan 1957. Contoh perniagaan; kedai runcit, kedai pakaian, kedai makan, bengkel dan lain-lain. Contoh perkhidmatan; tukang jahit, tukang gunting, pengiklanan, web designer dan lain-lain.

2. Perkongsian/Rakan Kongsi (Enterprise)
Konsep kategori ini masih sama seperti milikan tunggal tetapi memiliki lebih dari seorang pemilik dan tidak boleh melebihi 20 orang. Perniagaan ini berskala kecil dan sederhana boleh diuruskan secara berkumpulan atau mengupah pekerja bergantung kepada kemampuan. Persefahaman sangat penting bagi kategori ini bagi memastikan setiap keputusan dapat dipersetujui bersama untuk mengelak perselisihan faham dikalangan ahli.

Modal mudah diperolehi melalui perkongsian atau pinjaman bank. Cukai yang rendah dikenakan keatas individu rakan kongsi. Sama seperti milikan tunggal kategori ini juga tidak boleh bertukar hak milik sekiranya salah seorang ahli meninggal dunia maka perniagaan ini boleh dibatalkan atau ditamatkan.

Perniagaan ini boleh didaftarkan melalui Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dibawah Akta Pendaftaran Perniagaan 1961. Contoh perniagaan; firma guaman, firma perakaunan, klinik dan perubatan, persatuan kelab, agensi swasta, perkhidmatan, dan lain-lain.

3. Syarikat Sendirian Berhad (Sdn.Bhd)
Perniagaan ini memerlukan sekurang-kurangnya seorang lembaga pengarah, 2 orang pemegang saham dan tidak melebihi 50 orang. Pemegang saham yang mempunyai lebih 51% daripada jumlah saham syarikat berhak untuk mengawal syarikat tersebut. Setiap pemegang saham mestilah sah dan diktiraf untuk membiayai modal bagi kelayakkan mereka mendapat agihan dividen, iaitu hasil keuntungan syarikat.

Kategori ini kebiasaannya berskala sederhana dan besar dan dianggap lebih terjamin dan mempunyai kredibiliti kepada pelanggan. Liabiti syarikat tidak melibatkan harta peribadi pemilik jika berlaku sebarang kerugian. Syarikat sendirian berhad ini bagaimanapun kekal wujud walaupun pemilik asal telah meninggal dunia.

Perniagaan Sendirian Berhad telah didaftarkan dibawah Akta Syarikat 1965 telah digantikan yang baru iaitu Akta Syarikat 2016. Contoh perniagaan; perusahaan milik keluarga, restoran, pasaraya, kilang, hartanah, kejuruteraan, perkhidmatan professional dan lain-lain.

4. Perkongsian Liabiti Terhad
Merupakan sebuah perniagaan hasil gabungan perniagaan rakan kongsi dan syarikat sendirian berhad. Ia adalah satu usaha permulaan perniagaan dengan skala yang kecil dengan mendapatkan liabiti terhad dari rakan kongsinya. Bagaimanapun perniagaan ini dianggap seperti syarikat sendirian berhad dan dikenakan kadar cukai yang sama. Perniagaan ini kekal wujud walaupun pemiliknya telah meninggal dunia.

Disebabkan perniagaan ini masih baru diperkenalkan jadi tidak dapat dijelaskan secara terperinci, dan kategori ini juga masih belum dapat difahami sepenuhnya oleh beberapa agensi swasta, kerajaan mahupun pihak perbankan. Namun begitu contoh umum perniagaan ini adalah bidang perkhidmatan profesional.

5. Koperasi
Ditubuhkan bagi menjaga kebajikan dan kepentingan ekonomi ahli-ahli didalamnya, perniagaan ini mememerlukan sekurang-kurangnya 50 orang ahli yang aktif. Aktiviti perniagaan yang dijalankan selain untuk menjana pendapatan tambahan, koperasi juga menawarkan kemudahan khas seperti pinjaman dan rebat perbelanjaan anak-anak. Modal perniagaan dapat dibiayai apabila mendapat caruman dari setiap ahli, keuntungan yang akan diperoleh akan dibahagi kepada ahli dalam bentuk dividen.

Koperasi boleh ditubuhkan dengan menghubungi Suruhan Koperasi Malaysia (SKM) bagi mendapatkan penerangan dan nasihat lebih lanjut berhubung proses bagi pendaftaran dan penubuhan koperasi.

Demikianlah serba sedikit penerangan yang ringkas berkenaan konsep bagi kategori perniagaan yang diperkenalkan di negara kita. Walaupun masih terdapat beberapa kategori perniagaan yang tidak disenaraikan. Semoga informasi ini dapat menambah serba sedikit ilmu pengetahuan dan membantu perjalanan anda dalam menceburi dunia perniagaan.